Tiga unit kondominum di Sri Petaling jadi ‘rumah’ scammer

2 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham dengan menjadikan tiga unit kondominium di Sri Petaling, di sini, sebagai pusat panggilan dengan penahanan lapan individu pada Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menahan tujuh lelaki warga China dan seorang lelaki warga tempatan berusia antara 20 hingga 37 tahun.

“Kesemua yang ditahan berperanan selaku agen pencari pelabur,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, hari ini.

Menurut Ramli, pihaknya turut merampas 23 telefon bimbit, tiga set komputer, satu monitor, sebuah komputer riba, seunit router dan modem internet, dua unit external hard disk, tiga rangkai kunci beserta kad akses rumah, tiga pasport serta wang tunai berjumlah RM3,453.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, sindiket itu didapati terlibat dengan penipuan pelaburan saham yang menyasarkan mangsa warga China.

“Sindiket akan menawarkan serta mengajar mangsa untuk menyertai pelaburan tersebut melalui pautan yang diberikan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut Ramli berkata, banyak operasi terdahulu memperlihatkan premis kediaman dijadikan markas untuk kegiatan jenayah penipuan.

“Justeru, pihak polis berpandangan satu kaedah atau tatacara yang lebih tegas perlu diwujudkan bagi menentukan semua pemilik premis melakukan KYC (know your customer) sebelum menyewakan premis mereka kepada orang lain.

“Alasan tidak mengetahui aktiviti yang dilakukan dalam premis tidak boleh dipertimbangkan,” katanya.

Tambahnya, selaku pemilik premis, mereka wajar dipertanggungjawabkan terhadap aktiviti jenayah yang dilakukan di premis tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |