KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dan cop keselamatan yang didalangi warga Pakistan serta bergiat aktif di sekitar ibu negara pada 30 Disember lalu.
Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, susulan itu tangkapan telah dibuat ke atas tiga warga Pakistan antaranya seorang lelaki dan wanita yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket menerusi Ops Serkap.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi selama setahun dengan menawarkan kemudahan penyediaan dokumen dan cop palsu kepada warga asing yang ingin masuk serta tinggal di Malaysia dengan caj sekitar RM350.
“Suspek lelaki dan wanita masing-masing berumur 36 dan 27 yang ditahan bersama seorang remaja perempuan 16 tahun. Sindiket ini menyediakan kemudahan permohonan visa kemasukan ke Malaysia selain pas khas dan lanjutan pas lawatan kerja sementara (PLKS).
“Mereka ditahan bagi siasatan lanjut bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.
“Antara barangan yang disita ketika tangkapan adalah enam cop keselamatan pelbagai negara seperti Pakistan, Filipina, Bangladesh dan India, cop palsu JIM bagi tujuan keluar masuk pintu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telefon bimbit, pasport antarbangsa dan tiket penerbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar mengenai Ops Serkap di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Jelas beliau, modus operandi sindiket itu bertujuan untuk menunjukkan berlakunya pergerakan warga asing terlibat ke luar negara dan masuk ke Malaysia seolah-olah kegiatan mereka itu mematuhi peraturan bagi kelulusan visa.
“Kami jumpa juga pemalsuan dokumen seperti tiket kapal terbang melibatkan beberapa penerbangan yang telah disunting dengan mengubah butiran tertentu.
“Mereka gunakan dokumen-dokumen tersebut dengan muat naik dalam sistem permohonan visa atas talian, masukkan maklumat pasport, penerbangan dan tempahan hotel bagi menunjukkan seolah-olah mereka layak mendapat kelulusan visa,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE