‘Semakin ramai, pemuzik lokal MPO bertaraf dunia’

10 hours ago 3

JIKA 25 tahun lalu nisbah pemuzik lokal dan antarabangsa dalam kumpulan muzik orkestra Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) begitu besar jurangnnya, namun kini jumlah itu hampir sama.

Menurut Ketua Pengurusan Orkestra MPO, Fadilah Kamal Francis, kini terdapat 19 pemuzik tempatan dan 21 pemuzik antarabangsa berbanding pada awal penubuhan di mana hanya 10 ke 20 peratus sahaja pemuzik lokal.

Melihatkan perkembangan sihat ini, Fadilah berkata, semuanya disebabkan inisiatif pihak MPO mencari dan menggilap bakat-bakat baharu dalam industri muzik orkestra.

“MPO sentiasa komited mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan rakyat tempatan. Sejak 2007 MPO memperkenalkan ‘Youth Orchestra’. Selepas 18 tahun kita boleh lihat hasilnya apabila lebih ramai pemuzik lokal dalam MPO.

“Kini lebih ramai rakyat Malaysia meminati bidang muzik dan menjadikan MPO sebagai pilihan utama mereka untuk bertugas sebagai pemuzik orkestra profesional.

“Di MPO sesi pencarian bakat tidak terhad kepada warganegara sahaja. Kita mencari yang terbaik dalam kalangan terbaik. Jadi sesiapa sahaja boleh datang ke sesi pemilihan, tapi di MPO kita mempunyai standard yang agak tinggi. Hanya yang terbaiK akan dipilih,” katanya ketika ditemui di Forum Orkestra Kuala Lumpur baru-baru ini.

Stigma masyarakat yang kononnya muzik orkestra hanyalah untuk golongan T20 dan ke atas juga tidak boleh diguna pakai lagi.

Tambah Fadilah, menyokong inisiatif kerajaan yang memperkenalkan program Rahmah, MPO memberikan promosi khas untuk golongan kurang berkemampuan dengan menawarkan harga tiket serendah RM50 buat mereka yang berminat menikmati dan mengenali dengan lebih dekat seni muzik orkestra.

“Setiap tahun kalendar kita dipenuhi dengan pelbagai jenis konsert yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat. Setakat ini, sebanyak 44 program telah disediakan sepanjang tahun ini. Antara yang telah disediakan adalah Family Fun Day yang menyasarkan golongan kanak-kanak.

“MPO turut tidak melupakan golongan istimewa seperti anak yatim dengan membawa mereka menonton konsert menerusi sumbangan yang diberikan orang ramai melalui tabung kebajikan MPO.

“Kita juga ada program bersama DBKL untuk menyasarkan kanak-kanak kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan perumahan flat agar mereka diberikan pendedahan tentang muzik orkestra.

Kumpulan orkestra dari pelbagai negara akan berkumpul di Kuala Lumpur sempena Festival Orkestra Kuala Lumpur 2020 yang berlangsung sepanjang Jun.

Bercakap mengenai pembabitan MPO bersama pasukan orkestra lain dari pelbagai negara di Forum Orkestra Kuala Lumpur, kata Fadilah, MPO sentiasa terbuka untuk berkongsi idea dengan negara luar tentang perkembangan muzik orkestra.

“Kami dijemput untuk berkongsi pengalaman serta pelan jangka panjang MPO bersama pasukan orkestra lain.

“Acara sebegini sebenarnya bagus untuk memberi pendedahan lebih mendalam kepada semua penggiat seni khususnya dalam dunia orkestra.

“MPO sebagai pasukan orkestra profesional bertanggungjawab berkongsi pengetahuan selama 27 tahun kami dalam industri ini.

“Kita juga dapat berkongsi idea yang dapat menunjukkan kepada negara luar bahawa Malaysia juga mempunyai pasukan orkestra yang bagus dan bertaraf dunia sama seperti mereka,” ujarnya.

Forum Orkestra Kuala Lumpur dianjurkan sebagai pembuka acara untuk Festival Orkestra Kuala Lumpur anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan berlangsung sepanjang Jun 2025. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |