KUALA LANGAT – Hasrat seorang bapa untuk membeli makanan buat tiga anaknya berakhir dengan tragedi berdarah apabila lelaki itu mati ditembak ala mafia di sebuah restoran makanan segera di Banting di sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10 malam dengan mangsa berusia 38 tahun ditemukan terlentang di luar restoran tersebut dengan beberapa kesan tembakan serta tompokan darah.
Mangsa ditembak beberapa das oleh suspek yang menunggang motosikal sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Seorang ahli keluarga mangsa berusia 31 tahun yang enggan dikenali berkata, mangsa merupakan anak sulung daripada lima beradik dan bekerja sebagai pembekal pengawal keselamatan berlesen di sekitar daerah ini.
Katanya, mangsa telah keluar dari rumah pada pukul 8 malam ke restoran tersebut.
“Dia keluar seorang sahaja untuk membeli makanan buat tiga anaknya yang berusia 8 hingga 12 tahun,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik Hospital Banting di sini semalam.
Menurutnya, dia tidak mengetahui punca mangsa ditembak dan difahamkan lelaki itu tidak mempunyai musuh sebelum ini.
“Berapa jumlah tembakan pun kami tidak tahu dan sedang menunggu laporan daripada polis,” katanya.
Seorang pekerja gerai buah-buahan yang dikenali Ani berkata, dia pada awalnya menyangka bunyi letupan itu adalah bunga api dengan jarak gerai dan lokasi kejadian kira-kira 50 meter.
“Saya terdengar tiga bunyi letupan dan nampak keadaan menjadi kelam kabut dengan ada yang menjerit. Polis kemudian tiba dan selepas itu baru saya tahu itu adalah kejadian tembakan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi pula berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pusat Respons Kecemasan (MERS) 999 pada pukul 10.05 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan tembakan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif kejadian masih dalam peringkat siasatan,” katanya.
Menurutnya, polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti jumlah tembakan serta bahagian tubuh mangsa yang terkena tembakan.
Katanya, usaha mengesan suspek juga sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

1 day ago
6

















































