PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia yang mengadakan lawatan ke Pakistan, baru-baru ini berharap agar dapat pulang ke tanah air seperti dijadualkan, iaitu pada Isnin ini.
Juliza Jalil yang berada di Jaglot dipercayai bersama suaminya ketika ini berkata, dia berharap agar lapangan terbang di Pakistan yang ditutup sehingga esok, dibuka segera selepas tempoh berkenaan.
“Terima kasih kerana mengambil berat, bertanya khabar dan terus mendoakan kami dalam keadaan tegang antara Pakistan dan India yang masih belum reda.
“Setakat hari ini, semua lapangan terbang di Pakistan ditutup sehingga 10 Mei (esok). Kami berharap ia akan dibuka semula selepas tarikh tersebut, atau lebih awal, supaya kami dapat pulang mengikut jadual pada 12 Mei,” katanya di media sosial.
Setakat ini katanya, semua kawasan yang dilawati dalam keadaan aman dan penduduk menjalani rutin harian seperti biasa.
“Perjalanan kami bermula dari Skardu – Gilgit – Hunza dan kini berada di Jaglot, sebelum meneruskan ke Besham esok (hari ini) dan ke Islamabad lusa (esok).
“Kami bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT agar sentiasa dilindungi. Insya-Allah,” ujarnya.
Juliza berkata, banyak perkara dipelajari sepanjang melawat negara berkenaan yang padat dengan penduduk dan kurang membangun, namun rakyatnya begitu tinggi semangat nasionalisme serta kecintaan terhadap agama.
“(Mereka) sentiasa bersatu hati dalam mempertahankan Islam dan tanah air. Mereka begitu ramah, sentiasa tersenyum, dan layanan mereka sungguh ikhlas serta menyentuh hati.
“Buat umat Islam, inilah masa yang mencabar dan sukar. Ujian datang dari luar dan dalam. Apa yang pasti akan berlaku, lambat atau cepat.
“Semoga Allah teguhkan iman semua hamba-Nya yang setia, sekarang dan selama-lamanya. Insya-Allah kami akan pulang dengan selamat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE