‘Mereka pernah cerai tahun 2017, rujuk dalam idah tapi tak daftar’

5 hours ago 3

SEPANG – Bukan satu, perceraian penyanyi Nubhan dengan isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek akan jatuh talak dua selepas hakim mengesahkan lafaz cerai yang difailkan usahawan terbabit pada awal bulan lalu.

Perkara itu dikongsikan peguam kepada Afifah Hidayah, Datuk Akberdin Abdul Kader yang memaklumkan prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini membabitkan dua isu iaitu perceraian pertama pada tahun 2017 selain lafaz cerai terbaharu pada 26 Ogos lalu.

“Hari ini sebutan pertama untuk permohonan diajukan suami kepada anak guam saya berkenaan pengesahan dua cerai dan satu rujuk. Mereka pernah bercerai pada tahun 2017 tetapi rujuk dalam tempoh idah dan tidak didaftarkan.

“Jadi permohonan hari ini difailkan untuk kedua-dua talak tersebut, sama ada hakim nak dengar sekali talak pertama dengan rujuk atau terus membuat keputusan pengesahan untuk kesemua permohonan.

“Kalau disahkan akan jadi talak dua. Saya difahamkan lafaz talak pertama lapan tahun lalu juga di luar mahkamah. Kita tunggu keputusan hakim tetapi ikut proses biasa suami kena bayar denda,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini, hari ini.

Akberdin yang hadir pada pukul 9.40 pagi mengiringi anak guamnya bagi sebutan pertama bagi pengesahan lafaz cerai dikemukakan Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamed, 39.

Menurut Akberdin lagi, selepas selesai urusan pengesahan perceraian baru isu hadanah dan harta sepencarian dibincangkan.

Pada masa sama, peguam dari Firma Akberdin & Co itu mengakui adanya surat tawaran perceraian diberikan Nubhan kepada anak guamnya sekitar dua bulan lalu sebelum berlaku lafaz talak di luar mahkamah.

“Tawaran perceraian memang ada, dia (Nubhan) pernah hantar surat pada anak guam saya. Kita jawab surat tersebut tapi dia senyap sahaja selepas itu,” ujarnya.

Sementara itu, ditemani ahli keluarga terdekat, isteri Nubhan yang juga doktor gigi tiba di mahkamah dalam keadaan sugul dengan mata tampak sembab.

Bahkan, Afifah Hidayah, 36, hanya tersenyum apabila diminta mengulas mengenai prosiding mahkamah yang perlu dilaluinya, hari ini.

“Minta maaf, anak guam saya akan bagi kenyataan selepas ini. Terima kasih,” kata Akberdin mewakili wanita terbabit.

Nubhan yang tiba lima minit lebih awal daripada isterinya pula hanya berharap urusan mereka dipermudahkan.

Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.

Menerusi laporan Kosmo! Online, ahli perniagaan itu dikatakan tidak lagi sebumbung dengan isterinya selepas melafazkan talak sekitar Ogos lalu.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan perkahwinan mereka diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |