GOMBAK – Tidak mematuhi lampu isyarat merekodkan jumlah paling tinggi dengan angka sebanyak 127 kesalahan dalam Operasi Penyamaran sempena Tahun Baharu Cina 2025 yang berlangsung sejak 20 Januari lalu.
Dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor itu, kesalahan tersebut majoritinya dilakukan oleh kenderaan persendirian seperti kereta dan motosikal.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 72 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000.
Beliau berkata, jumlah tersebut adalah antara 298 kesalahan dan notis direkodkan sehingga operasi yang berlangsung hari ini.
Katanya, memandu di lorong kecemasan mencatatkan jumlah kedua tertinggi dengan 66 kesalahan diikuti dengan memandu di lorong kanan secara berterusan (39 kesalahan).
“Sebanyak 35 kesalahan tidak memakai topi keledar manakala menggunakan telefon bimbit mencatatkan 21 kesalahan.
“Tiada lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh merekodkan enam kesalahan diikuti dengan empat notis tiada atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan perlindungan insuran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kawasan Rehat dan Rawat Rawang arah utara di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Kamarunzaman berkata operasi kali ini menggunakan teknik penyamaran kenderaan ‘unmark’ (tidak berlogo) dan tidak memakai pakaian seragam bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Ujarnya, setelah mengenal pasti kenderaan yang melakukan kesalahan, anggota JPJ akan menahan pesalah sebelum mengeluarkan notis saman di lokasi terbabit.
“Penyamaran sebegini sentiasa dilakukan JPJ dari semasa ke semasa. Ini membuktikan JPJ akan sentiasa ada dimana-mana dalam masyarakat.
“Setakat ini makluman orang awam yang kita terima adalah positif, dan kita akan terus menggunakan teknik sebegini dalam operasi-operasi akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE