Kanser kini tahap 4, Helmi Gimmick buang ginjal kiri Khamis ini

1 day ago 8

PETALING JAYA – Pengacara dan penghibur versatil Helmi Gimmick bakal menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri pada Khamis ini di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Serdang susulan kanser yang dihidapi sudah di tahap empat.

Menurut Helmi atau nama sebenarnya, Helmi Harun, 65, penyakit kanser buah pinggang sudah dikenal pasti sejak September tahun lalu, namun pembedahan ditangguh kerana jadual kerja yang padat.

“Sebenarnya saya sudah buat ‘check-up’ pada awal September tahun lalu dan sudah lakukan pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) serta X-ray, memang doktor pakar sahkan saya ada kanser buah pinggang.

“Tapi saya degil dan nak juga selesaikan kerja dulu. Sehinggalah Disember lalu, saya mengalami kencing berdarah ketika menjayakan sebuah acara.

“Disebabkan itu, isteri saya bawa saya ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan sebelum doktor minta buat pembedahan segera,” katanya.

Dia juga perlu menjalani beberapa rawatan awal bagi menghentikan pendarahan sebelum pembedahan dijalankan.

Helmi memberitahu, doktor juga menasihatkannya supaya berehat sekurang-kurangnya tiga bulan daripada sebarang aktiviti persembahan untuk memulihkan diri selepas pembedahan.

“Bila saya masuk sana, doktor cakap sudah kritikal. Ini bukan ‘check-up’ tetapi ini perlu dibedah sebab kencing berdarah.

“Akhirnya saya ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah untuk jalani pembedahan pembedahan membuang buah pinggang di bahagian kiri pada Khamis ini,” katanya lagi.

Terdahulu, pengarah, Jurey Latiff turut berkesempatan menziarahi Helmi yang sedang diuji dengan kanser buah pinggang tahap empat semalam.

Jurey meminta doa ramai agar urusan kesembuhan Helmi dipermudahkan serta berharap kesihatan sahabatnya itu akan kembali sedia kala selepas menjalani pembedahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |