PETALING JAYA – Petronas Chemical Group Berhad (PCG) mencatat pertumbuhan komersial yang kukuh meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran besar termasuk gangguan geopolitik, kenaikan kos tenaga dan lambakan bekalan berterusan.
Faktor-faktor ini menyumbang kepada tekanan inflasi dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan lagi impak kepada industri kimia yang sudah tinggi persaingannya.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, syarikat merekodkan prestasi operasi yang baik melalui kadar penggunaan loji setinggi 91 peratus pada 2024, melangkaui tanda aras dunia pada 90 peratus.
Selain itu, Kumpulan juga mencapai jumlah pengeluaran tertinggi pada 11.2 juta tan setahun dengan peningkatan dari segmen kimia khusus.
“Kejayaan ini dipacu oleh pelbagai usaha proaktif untuk merangsang kecekapan loji, mengurangkan masa henti peralatan, memperkasa program kebolehpercayaan aset serta melaksanakan pelbagai penyelesaian digital bagi ramalan analisis dalam pengawasan prestasi operasi.
“Dari segi komersial, PCG mencatat rekod jualan sebanyak 10.4 juta tan metrik pada 2024, iaitu peningkatan setinggi 27 peratus sejak lima tahun lalu.
“Perkembangan ini menekankan kedudukan pasarannya yang kukuh serta komitmen kecemerlangan komersial, yang boleh dilihat daripada kadar Kebolehpercayaan Pemenuhan Pesanan dalam segmen Komoditi setinggi 95 peratus, menjangkaui paras industri pada 90 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Penyumberan strategik serta kerjasama di pasaran penting seperti China, Thailand dan Indonesia telah menguatkan saranan nilai dan memperkasa kebolehan syarikat dalam berkhidmat kepada pelanggan dalam pasaran tempatan mereka.
“Kemampuan PCG dalam mencapai prestasi operasi dan komersial yang kukuh walaupun dalam persekitaran yang mencabar adalah bukti tumpuan, disiplin serta komitmen kami untuk mencapai kecemerlangan menyeluruh.
“Usaha-usaha proaktif bagi merangsang kecekapan, kebolehpercayaan, dan keupayaan telah menyumbang kepada kebingkasan kami dalam menghasilkan produk bermutu tinggi disamping memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan,” ujarnya.
Selain itu, PCG turut mencatat kejayaan dalam segmen Olefin dan Derivatif yang bermulanya operasi Pengerang Petrochemicals Company di Johor iaitu projek pembangunan tebesar PCG dengan kerjasama Aramco untukmenghasilkan polimer dan glikol yang digunakan dalam pelbagai barangan harian.
Selain itu, loji Isononanol di Pengerang telah menghasilkan produk menurut spesifikasi yang betul serta dijadualkan untuk beroperasi sepenuhnya pada 2025.
PCG turut menambah rantaian nilai segmen baja dan metanol dengan siapnya loji Melamina di Gurun, Kedah.
“Loji ini akan menawarkan kepelbagaian produk, peluang-peluang bernilai tinggi serta meletakkan PCG sebagai satu-satunya pengeluar melamina di Asia Tenggara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan import di rantau ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE