BUKAN dunia lakonan sahaja yang rancak mempamerkan pucuk muda, gelanggang nyanyian tidak ketinggalan apabila menyambut baik kehadiran pendatang baharu.
Berpayung bawah naungan Shiha Zikir Empire, kumpulan Inferno3 yang dianggotai tiga gadis jelita iaitu Hannis, Hannah dan Eva kini sedia beraksi.
Sebagai pengenalan rasmi, Inferno3 tampil dengan single sulung berjudul Money hasil kolaborasi bersama Shiha Zikir yang menjadi titik tolak buat kumpulan itu membina hala tuju serta identiti dalam dunia seni.
Menurut pemilik nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir, 38, bukan sekadar mengetengahkan bakat nyanyian dan tarian, menerusi labelnya, dia bertujuan membentuk pengaruh positif dalam kalangan remaja, khususnya dari segi penekanan terhadap akademik walaupun bergelar artis.
“Fokus Shiha Zikir Empire yang menaungi Inferno3 sekarang ini bukanlah untuk berlawan dengan mana-mana kumpulan kerana mereka adalah antara yang termuda.
“Menerusi Inferno3, kami cenderung membentuk pengaruh baik tersendiri, terutama dalam kalangan remaja. Setiap daripada anggota Inferno3 ini, walaupun sangat suka menyanyi dan menari, mereka langsung tidak ketepikan soal akademik.
“Ibu bapa mereka juga meletakkan syarat, kalau mahu terus aktif dalam bidang hiburan, mereka perlu mendapatkan pencapaian akademik yang baik. Mereka pandai bahagi masa untuk fokus pada kedua-duanya.
Kejar cita-cita
“Mungkin ada remaja-remaja lain yang ingin mengembangkan bakat seni, boleh contohi Inferno3, jangan disebabkan masih belajar tapi terbantut keinginan kejar cita cita, dan jangan sesekali mengurangkan fokus pada pelajaran disebabkan ingin kejar cita-cita,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Hannis, 17, meluahkan rasa syukur dan teruja apabila diberi kepercayaan untuk melancarkan single pertama serta bernaung di bawah Shiha Zikir Empire.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan rasa bertuah dapat melancarkan single pertama ini.
“Lagu ini bertambah istimewa kerana kami dapat menyanyikannya bersama Kak Shiha, bukan semua orang dapat peluang ini.
“Kak Shiha seorang selebriti multi-talented, siapa saja yang tak kenal beliau!” katanya.
Rakan kumpulannya, Hannah, 15, pula menzahirkan penghargaan kepada koreografer Ezra Tham yang banyak memberi tunjuk ajar dalam menghasilkan koreografi untuk video muzik lagu tersebut.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada koreografer Ezra Tham kerana mengajar tarian kami dengan penuh dedikasi untuk video muzik lagu Money.
“Kami ambil masa tiga ke empat hari untuk berlatih sebelum penggambaran video muzik. Cara Abang Ezra ajar pun mudah untuk kami faham, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Bagi Eva, 17, pula, peluang bekerjasama dengan Shiha merupakan satu pengalaman berharga selain menyifatkan penyanyi itu sebagai seorang yang tegas serta mementingkan kesempurnaan dalam berkarya.
“Saya rasa sangat teruja, pada masa sama masih gementar sebab Kak Shiha bukan saja menyanyi bersama kami, malah turut menari bersama kami dalam video muzik lagu Money.
“Memang rasa sangat dihargai apabila artis senior seperti beliau sudi berkolaborasi dengan kami. Saya harap dengan peluang yang Kak Shiha beri ini, kami dapat teroka lebih banyak perkara dalam industri seni.
“Sepanjang tempoh mengajar kami, Kak Shiha tak garang pun cuma beliau tegas dan seorang ‘perfectionist’ terutama berkenaan konsep dan vibe lagu ini,” tuturnya.
Money merupakan hasil kolaborasi Shiha Zikir Empire bersama Sony Music Entertainment Malaysia. Single tersebut dilancarkan secara rasmi di semua platform digital sejak 9 Januari lalu manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Shiha Zikir Empire.

3 hours ago
2

















































