PETALING JAYA – “Inilah wajah realiti rakyat kita. Ada yang setiap hari berjuang hanya untuk sekeping roti dan segelas susu buat anak-anak”
Demikian pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkenaan kehidupan segelintir masyarakat di negara ini.
Kata beliau, pasangan suami isteri, Zulkifle Yaakub dan Rahayu Anis Kamarudin antara yang sedang berjuang untuk keluarga mereka di ibu kota ketika ini.
Menurut beliau, keluarga tersebut tinggal di flat kecil dan mempunyai seorang anak istimewa orang kurang upaya (OKU) autisme, Muhammad Aniq Amsyar.
“Zulkifle bekerja sebagai pekerja harian dengan pendapatan RM50 sehari. Rahayu menguruskan rumah dan anak-anak sepenuh masa.
“Anak sulung, Muhammad Aqif Mukhlis baru berusia 16 tahun sudah bekerja di restoran makanan segera untuk bantu keluarga. Beban mereka berat, tapi mereka tetap tabah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Mohd. Na’im berkata, dengan bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui zakat yang diterima, bantuan kewangan dapat disalurkan kepada keluarga itu.
Kata beliau, bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan sewa rumah, peralatan sekolah serta kos terapi anak autisme keluarga tersebut.
“Namun, cukupkah ini untuk menjamin masa depan anak-anak mereka? Saya akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Kita tak mahu ada ayah menangis dalam diam, tak mampu sediakan makan malam untuk anak-anaknya. Kita tak mahu ada ibu yang tidur dalam resah, risau akan hari esok.
“Malaysia, mari kita bersama membantu. Jika ada rezeki lebih, hulurkan tangan, ringankan beban. Kita bina negara yang lebih prihatin, lebih penyayang,” katanya. – KOSMO! ONLINE