KEYAKINAN terhadap jentera yang lebih stabil menjadi sandaran utama pelumba wildcard negara, Hakim Danish Ramli menjelang penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kategori Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu hadapan.
Selepas menjalani dua hari ujian intensif di SIC baru-baru ini, pelumba berusia 18 tahun itu mengakui keterujaannya terhadap kehebatan jentera spesifikasi penuh Moto3 selepas berjaya mencatat keputusan positif sepanjang sesi latihan tersebut.
Katanya, jentera KTM baharu yang dihantar terus dari kilang di Austria itu jauh berbeza berbanding mesin yang digunakannya dalam saingan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP, terutama dari aspek kuasa dan kestabilan, sekali gus membuka dimensi baharu dalam prestasi tunggangannya.
“Kalau saya nak cerita perbezaan memang banyak. Saya rasa kuasanya lebih laju di laluan lurus. Casis pula lebih stabil bila saya masuk selekoh, membolehkan saya membrek lebih kuat (hard braking) dan membawa kelajuan lebih tinggi ke dalam selekoh. Itu kelebihannya.
“Saya yakin dengan pasukan saya dan juga motosikal yang saya akan tunggang di GP Malaysia. Pastinya ia akan menjadi perlumbaan yang sangat kompetitif. Cuma saya perlu bersedia dengan lebih baik,” kata Hakim yang bakal mewakili pasukan AEON Credit SIC Racing MSI.
Menyedari potensi besar jentera tersebut, Hakim meletakkan sesi Latihan Bebas Pertama (FP1) pada Jumaat ini sebagai platform penting untuk memahami serta memaksimumkan keupayaan sebenar motosikalnya, selain mencari pelarasan terbaik yang sesuai.
“Saya akan melihat dan mengukur tahap saya selepas selesai FP1. Dari situ baru saya tahu kedudukan dan tahap sebenar sebelum meletakkan sebarang sasaran.
“Pada sesi ujian lalu, catatan saya bukanlah paling laju, tetapi saya perlu tingkatkan sekitar satu saat lagi untuk berada dalam kelompok hadapan. Jadi, saya perlu bekerja keras bermula Jumaat nanti,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, turut meletakkan harapan tinggi agar Hakim dapat memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dan mencipta keputusan cemerlang dalam penampilan sulungnya di pentas dunia.