JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mahu peminat bola sepak tempatan ‘menggunakan’ baginda sepenuhnya demi kebaikan dan pembangunan sukan tersebut, khususnya melibatkan pasukan Harimau Malaya.
Titah baginda, langkah itu adalah lebih baik berbanding dengan hanya berharap sukan bola sepak tempatan akan menjadi lebih baik tanpa penglibatan baginda.
“Satu dua bulan ini memang ada gerakan tidak mahu melihat perkara (program naturalisasi) berjaya, sasaran utama adalah saya. Mereka tidak boleh serang secara terus jadi mereka kritik Johor Darul Ta’zim (JDT), liga Malaysia dan pasukan kebangsaan.
“Saya akan kekal dan teruskan bekerja untuk majukan JDT dan menyokong pasukan kebangsaan dengan apa yang boleh. Jadi adalah lebih baik kamu (penyokong bola sepak) gunakan saya sebaiknya,” titah baginda kepada pemberita ketika ditemui di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini hari ini.
Titah baginda lagi, penyokong bola sepak tempatan perlu membezakan saingan domestik dengan sokongan terhadap skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
“JDT telah diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kita berada dalam 10 pasukan terbaik di benua ini, sepatutnya peminat bola sepak tempatan menyokong pencapaian itu.
“Tetapi disebabkan ‘rivalry’, mereka tak boleh bezakan saingan domestik dengan kepentingan peringkat kebangsaan, bagi saya kedua-dua perkara itu berbeza,” titahnya.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT turut bertitah tidak bersetuju dengan kritikan negatif segelintir pihak terhadap program naturalisasi pemain dalam skuad Harimau Malaya ketika ini.
“Negara jiran kita juga sudah ambil langkah sama, jika kita nak berkembang kita kena (lakukan juga). Kita bukan sahaja lihat asal usul mereka atau warna kulit, tetapi akhirnya adalah dedikasi mereka kepada pasukan kebangsaan.
“Bagi saya secara peribadi, saya tiada masalah pemain itu datang dari mana, asalkan mereka ada darah dan ada kaitan dengan Malaysia,” ujarnya.
Baginda bertitah demikian sebagai mengulas kritikan segelintir pihak terhadap program naturalisasi melibatkan skuad Harimau Malaya, termasuklah dari Datuk Santokh Singh.
Legenda bola sepak tempatan itu dilaporkan berkata keputusan mengambil pemain secara naturalisasi hanya mengetepikan peluang pemain tempatan mewakili negara di pentas antarabangsa. -KOSMO! ONLINE