JOHOR BAHRU – Tiga lelaki yang terlibat kes pecah rumah dan curi kenderaan yang dikenali Geng Atan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah rumah, bulan lalu.
Tertuduh, Mah Mun Fei, 46; Liew Siong Khan, 42 dan Teo Kiam Hong, 48, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Ketiga-tiga individu terbabit turut menghadapi pertuduhan lain secara berasingan.
Mun Fei mengaku tidak bersalah dengan niat curang menerima atau menyimpan harta curi iaitu satu keping kad pengenalan atas nama seorang wanita yang mana tertuduh ada sebab untuk mempercayai bahawa harta itu adalah harta curi.
Siong Khan pula mengaku tidak bersalah melupuskan harta curi iaitu dua bentuk cincin emas, seutas rantai emas dan satu loket batu emas milik seorang wanita di sebuah kedai emas dekat Jalan Kota Tinggi – Jalan Pandan di sini, pukul 4 petang, 14 Disember tahun lalu.
Kiam Hong juga mengaku tidak bersalah bagi lima pertuduhan iaitu menerima atau menyimpan harta curi iaitu sebentuk cincin dan dua gelang tangan berwarna kuning keemasan milik seorang lelaki serta memiliki nombor pendaftaran kenderaan lain.
Dia turut didakwa dengan niat curang menyimpan harta curi iaitu jenis Honda H-RV milik seorang wanita, dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu sebuah peti besi milik seorang wanita dan telah didapati dengan curang menyimpan sebuah beg jerut warna hitam dan beberapa alat permainan video milik seorang lelaki yang mana tertuduh mengetahui semua harta itu adalah harta curi.
Di Mahkamah Majistret itu, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Siti Aishah Latif serta kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Februari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Semua tertuduh dibenarkan ikat jamin secara keseluruhannya masing-masing Mun Fei dengan RM7,000 diikuti Siong Khan (RM8,000) dan Kiam Hong (RM25,000).
Di dua Mahkamah Sesyen berasingan pula, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah masing-masing dengan satu pertuduhan memberikan kepada diri mereka dadah berbahaya amphetamine serta methamphetamine dan turut mempunyai kes sabitan terdahulu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hakim Hazeelia Muhammad masing-masing tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan tidak membenarkan untuk jaminan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh, Nurul Syafiqah Sha’ari dan Siti Fatimah Mamu dan kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 4 Februari dan 7 Februari depan. – KOSMO! ONLINE