KUALA LUMPUR- Fujifilm Malaysia terus memperkukuh kedudukan dalam pasaran tempatan dengan memperkenalkan kamera hibrid instan premium terbaharu, Instax Wide Evo’ (Wide Evo) yang menawarkan 10 kesan lensa.
Pengarah Urusan Fujifilm, Kensuke Aragen berkata, 10 kesan lensa itu dilengkapi dengan fungsi degree control yang membolehkan pengguna melaraskan keamatan cahaya dan gradasi warna dalam 100 tahap, yang mana hasil ekspresi gambar adalah lebih terperinci dan tepat.
Katanya, ini adalah kali pertama syarikat memperkenalkan kesan lensa yang dilengkapi dengan fungsi degree control dalam siri instax.
“Istimewanya, kami menawarkan Wide Evo dengan sokongan filem format Wide yang bersaiz dua kali ganda kad standard.
“Kamera ini juga dapat berfungsi sebagai pencetak telefon pintar, yang mana pengguna boleh mencetak gambar kegemaran daripada telefon pintar menggunakan Wide Evo secara instan,” katanya pada majlis pelancaran kamera terbaharu itu di sini semalam.
Aragane berkata, Wide Evo turut dilengkapi dengan ciri Film Style yang membingkai foto untuk cetakan instax yang lebih menarik serta Wide Angel Mode untuk tangkapan gambar yang lebih dinamik dengan sudut lebih lebar.
Tambah beliau, kamera ini direka dengan gabungan warna hitam yang elegan dan bahan logam berkualiti tinggi.
Ujarnya, pengguna dapat merasai pengalaman mengambil gambar dalam format Wide melalui kawalan analog seperti memilih gambar kesan menggunakan pelbagai dail dan mencetak gambar dengan memutar Print Crank secara manual.
Lebih menarik, Fujifilm turut memperkenalkan filem format Wide baharu iaitu Brushed Metalics yang menampilkan gradasi unik dan tekstur seakan logam bersempena dengan pelancaran Wide Evo.
Syarikat ini turut komited untuk memperluaskan dunia fotografi segera instax yang membolehkan orang ramai untuk menikmati cetakan gambar secara serta-merta dan berkongsi pengalaman unik dengan semua lapisan masyarakat. -KOSMO! ONLINE