Fadhlina umum reformasi serta-merta sistem keselamatan sekolah

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan reformasi serta-merta ke atas sistem dan mekanisme keselamatan di semua 10,243 sekolah di seluruh Malaysia.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan di kerah untuk melaksanakan reformasi itu secara praktikal dan efisien.

Ujar beliau, reformasi dilaksanakan berikutan insiden jenayah yang berlaku di sekolah baru-baru ini memerlukan KPM lebih efisien dan tegas dalam soal-soal terkait rapat dengan keselamatan pelajar.

Kata beliau, keselamatan setiap murid adalah tanggungjawab dan amanah terbesar bagi KPM dan penilaian terhadap keberkesanan reformasi itu akan dilakukan secara intensif dan berterusan.

“KPM memandang serius semua insiden jenayah yang berlaku melibatkan murid di kawasan sekolah baru-baru ini.

“Peristiwa ini bukan sekadar satu amaran, tetapi satu peringatan keras yang mengingatkan kita bahawa keselamatan dan kesejahteraan murid tidak boleh dipandang ringan.

“Ia juga terkait dengan krisis kebejatan moral yang mesti diberikan perhatian dan serius oleh semua pihak,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berhubung tindakan KPM bagi memastikan insiden tragis membabitkan pelajar sekolah tidak berulang.

Terdahulu, Fadhlina berkata, beliau berasa dukacita terhadap beberapa insiden yang berlaku di sekolah dan KPM bersimpati terhadap mangsa serta keluarga mereka.

Katanya, KPM kekal beriltizam untuk memperkukuh ekosistem keselamatan di sekolah dan memastikan setiap murid berada dalam persekitaran yang selamat, harmoni dan kondusif.

Jelas beliau, terdapat lima fokus utama kerangka sekolah selamat yang termasuk dalam reformasi serta-merta ke atas sistem dan mekanisme keselamatan.

Kata beliau, ia merangkumi kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dalam menangani keganasan seksual terhadap kanak-kanak, pencegahan bahan terlarang, polisi perlindungan kanak-kanak (CPP) serta keprihatinan guru dan suara pelajar.

Fadhlina berkata, kesihatan mental melibatkan pengukuhan dan intervensi kesihatan mental yang akan diberikan keutamaan khususnya pengukuhan ekosistem sokongan kepada guru bimbingan dan kaunseling dan para murid.

Katanya, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dalam menangani keganasan seksual terhadap kanak-kanak pula dengan melaksanakan program kesedaran dan intervensi khusus secara berfokus dan jelas berpandukan panduan agama, nilai dan budaya.

Jelas beliau lagi, larangan keras membawa bahan terlarang dan berbahaya pula melibatkan pemeriksaan berkala dan mengejut oleh pihak sekolah bagi memastikan tiada unsur bahan terlarang dan berbahaya masuk ke premis sekolah.

“Semua pemegang taruh termasuk ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah akan dilibatkan dalam siri libat urus berkaitan CPP sebelum dilaksanakan sepenuhnya di semua sekolah,” katanya.

Beliau berkata, perhatian dan sokongan guru pula melibatkan sistem sokongan psikososial kepada guru terus diperkukuhkan dan diberikan keutamaan dalam memastikan kesejahteraan guru ketika berada dalam situasi yang memerlukan sokongan segera.

Kata beliau, suara murid pula adalah signifikan dalam memastikan ekosistem sekolah selamat kerana ia melibatkan pandangan, hasrat serta hak mereka dan cerminan kepada perasaan, pengalaman dan harapan mereka.

“Pemantauan dan penilaian pelaksanaan terhadap semua inisiatif yang dilaksanakan pihak sekolah akan dinilai semula setiap 15 hari.

“Menteri dan Timbalan Menteri serta pengurusan tertinggi KPM akan terus bertemu dengan warga pendidik dan murid bagi mendengar dan mendapatkan input berkaitan pelaksanaan inisiatif ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |