KUALA LUMPUR – Lebih RM50 juta telah dibelanjakan oleh 700,000 penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kategori miskin dan miskin tegar bagi pembelian barangan keperluan asas di lebih 1,600 pasar raya dan kedai runcit terlibat setakat semalam.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, kadar penggunaan tertinggi dicatatkan di Kelantan dan Perlis dengan 97 peratus tuntutan serta Terengganu dan Kedah dengan 95 peratus tuntutan melalui penggunaan MyKad.
“Bagi tahun 2025, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya di Semenanjung Malaysia pada tahun 2024.
“Penambahbaikan SARA ini merangkumi sebahagian peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion ringgit pada 2024.
“Mulai April 2025, seramai 5.4 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan turut menerima bantuan tambahan SARA. Jumlah ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA dan 4.7 juta penerima STR sedia ada,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) berhubung keberkesanan program SARA menggunakan MyKad.
Amir Hamzah berkata, penerima SARA di Sabah dan Sarawak mulai Januari 2025 berjumlah 210,000 penerima yang telah dikenal pasti berada dalam rekod eKasih.
Menurut beliau, sebanyak 82 peratus penerima isi rumah di Sabah dan 78 peratus penerima isi rumah di Sarawak telah pun mula membuat perbelanjaan sejak 15 Januari 2025.
“Sesi pemantauan di lapangan mendapati penerimaan program SARA adalah amat baik. Rakyat selesa menggunakan MyKad.
“Mekanisme SARA mudah digunakan memandangkan tidak melibatkan aplikasi yang berasingan dan MyKad mudah digunakan umpama bayaran kad debit atau kad kredit,” katanya. – KOSMO! ONLINE