SHAH ALAM – Pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) Nubhan tidak melenting apabila pencapaiannya di pentas akhir itu diejek sebilangan netizen hanya kerana gagal bergelar juara.
Menurut Nubhan atau nama lengkapnya Nubhan Ahamad, 40, dia berbangga dengan pencapaiannya kerana bukan mudah untuk berada dalam kedudukan tiga teratas.
“Dapat nombor tiga bukanlah ‘padan muka’ untuk saya. Sasaran saya adalah untuk ke peringkat akhir. Kalau jadi juara adalah bonus.
“Untuk ke peringkat akhir sahaja pun tidak mudah. Melangkah sejauh ini juga saya sudah bangga. Untuk bertahan selama 12 minggu tanpa tersingkir itu bukan sesuatu yang mudah,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert akhir GV12, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Nubhan turut menzahirkan rasa terharu dengan sokongan peminat yang sentiasa percaya dengan kemampuannya sepanjang pertandingan berlangsung.
“Terima kasih yang meramalkan saya sebagai juara. Alhamdulillah maksudnya mereka (peminat) percaya saya ada harapan untuk menang.
“Sokongan daripada peminat sejak minggu pertama sudah cukup untuk membuatkan saya gembira,” ujarnya.
Mengulas komen juri tetap iaitu Datuk Syafinaz Selamat yang menyifatkan dirinya membuat pemilihan lagu yang salah untuk segmen duet bersama penyanyi jemputan, Aina Abdul menyampaikan lagu Seluruh Cinta, Nubhan mengakui kebenaran perkara terbabit.
“Saya hanya memilih lagu untuk persembahan solo. Aina seorang penyanyi yang sangat profesional. Dia sangat memberi sokongan kepada rakan duet ketika membuat persembahan.
“Cuma mungkin saya kurang ‘memberi’ kerana lagu tersebut memang agak sukar tapi alhamdulillah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aina kerana komitmen diberi.
“Saya terima saja apa-apa lagu diberikan, anggap sebagai satu tanggungjawab tanpa perlu beri banyak alasan,” katanya.
Pada malam konsert akhir itu, peserta dari Singapura, Iskandar Ismail dinobat sebagai juara manakala peserta dari Indonesia, kumpulan Mendua pula meraih kedudukan naib juara. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2






![[VIDEO] ‘Nasib tak kena lempang dengan bomba’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-10.52.09-AM.jpeg)










































