TEMPOH ‘bulan madu’ pemain tempatan sudah pun berakhir dan kini perlu menggandakan usaha bagi mencapai titik paling terbaik bagi mencabar bintang warisan skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Dengan prestasi pemain warisan bersama Harimau Malaya sebelum ini, ia menjadi gambaran jelas dan akan memudahkan bakat tempatan menentukan hala tuju masing-masing ketika bergelar pemain bola sepak profesional.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr Zulakbal Abd. Karim berkata, mentaliti yang diserlahkan pemain warisan cukup luar biasa di mana mereka tidak pernah memberi alasan untuk tidak beraksi baik walaupun terpaksa mengharungi perjalanan jauh ke Malaysia.
“Bila kali terakhir kita mampu menang 4-0 ke atas Vietnam? Untuk saya, kehadiran pemain warisan dan naturalisasi beri impak baik buat pasukan kebangsaan, bukan hanya dengan memastikan kemenangan tetapi kita boleh belajar lebih daripada itu.
“Ada antara mereka mengharungi perjalanan sehingga 30 jam tetapi adakah kita lihat mereka terkesan? Adakah mereka beri alasan ‘jet lag’ atau perlukan lebih banyak masa menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu?
“Semua itu kita tidak lihat, sebaliknya mereka tetap menjelmakan prestasi baik apabila diberi peluang. Mereka cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu walaupun mungkin wujud perbezaan permainan antara bola sepak Malaysia dan negara masing-masing.
“Di situ kita dapat lihat mentaliti mereka. Sewajarnya pemain ambil peluang untuk belajar dan ubah diri memandangkan pemain warisan kita adalah dari negara yang pernah bergelar juara dunia,” katanya.
Dalam masa sama, Zulakbal juga berharap kualiti dan mentaliti dibawa pemain warisan negara turut membuka mata semua pihak termasuk pengurusan supaya bersikap lebih professional demi memajukan bola sepak tempatan.