PETALING JAYA – Diuji dengan empat penyakit kronik, Zara Zya mengakui pernah berada di titik terendah dalam hidupnya namun memilih reda menempuh segala perancangan Tuhan buatnya.
Terus positif, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 40, bersyukur apabila keadaan kesihatannya semakin baik selepas berterusan menjalani rawatan dan fisioterapi.
“Saya masih keluar masuk wad sejak tahun lepas, bermula sekitar Jun. Saya jalani pembedahan membuang ketumbuhan pada buah pinggang kiri dan ovari. Saya juga ada masalah tulang belakang, leher serta artritis.
“Semua masalah ini membuatkan saya tak boleh berdiri atau duduk terlalu lama. Alhamdulillah, selepas rawatan dan fisioterapi yang perlu diteruskan setiap bulan, keadaan saya bertambah baik.
“Cuma untuk penggambaran yang memerlukan tenaga berlebihan atau babak lasak, saya kena berbincang dahulu dengan produser atau penulis skrip. Kalau mereka setuju, barulah saya teruskan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Enggan meratapi apatah lagi menyalahkan takdir, pelakon drama Dia Imamku itu menyifatkan setiap ujian kesakitan yang dilalui sebagai penghapus dosa.
“Perlu hadap, nak tak nak. Tapi, Allah beri saya kekuatan dan semangat. Saya bersyukur sebab ujian ini mungkin cara Allah menghapuskan dosa-dosa saya.
“Saya anggap diri saya insan terpilih untuk lalui dugaan ini. Walaupun sukar, hikmahnya saya jadi lebih dekat dengan Tuhan,” ujarnya pada majlis Tayangan Perdana Ramadan Astro 2025, di sini, semalam.
Pun begitu, Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian Anugerah Skrin 2019 itu tetap berharap kesakitannya tidak berpanjangan agar dia dapat kembali sihat selain terus aktif dalam industri seni tanah air.
“Insya-Allah, siapa yang tak nak sihat? Saya harap dapat kembali aktif dalam industri seni kerana ramai yang masih perlukan saya.
“Peminat sentiasa menantikan drama terbaru saya. Itu yang membuatkan saya terus kuat,” tambahnya.
Zara sebelum ini selamat menjalani pembedahan membuang cyst dan fibroid pada Mei tahun lalu. Dia turut dirawat akibat masalah sakit tulang belakang atau sindrom lumbar facet.
Namun, pada Julai tahun sama, pelakon itu sekali lagi dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman di bahagian kesan pembedahan. – KOSMO! ONLINE