JAGUH angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan melaungkan keyakinan khidmat sokongan daripada program Road to Gold (RTG) mampu membantunya untuk kekal kompetitif sehingga temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).
Berbaki lebih kurang tiga tahun lagi sebelum temasya sukan terbesar dunia itu, dia percaya RTG sekali lagi akan membantunya mencatat keputusan terbaik dalam kejohanan-kejohanan disertai selepas ini.
Aniq berkata, bukan sesuatu yang mustahil untuk dia melakar kejutan pada LA 2028 nanti, sama ketika edisi 2024 di Paris, Perancis tahun lalu di mana dia hampir meraih pingat gangsa.
“Harapan saya adalah untuk mendapat khidmat sokongan yang terbaik daripada mereka (RTG). Untuk tahun ini, saya perlu berada dalam kelompok 10 teratas (dunia) dan tahun terakhir empat teratas.
“Dalam tempoh yang ada lebih kurang tiga tahun ini, kalau bermula sekarang saya rasa boleh (capai sasaran). Ketika (Olimpik) Paris, kita hanya ada waktu singkat tetapi saya boleh keluarkan aksi terbaik hasil daripada khidmat yang diberikan,” katanya.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tidak menolak kemungkinan dia mampu untuk mencipta kejayaan dalam masa terdekat menjelang beberapa kejohanan penting tahun ini.
Ia termasuk Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Ahmedabad City, India pada Ogos depan di mana ia turut menjadi aksi kelayakan bagi memburu slot ke Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Tahun ini tidak mustahil perkara itu (pencapaian positif) boleh berlaku. Paling penting saya perlu terus melakukan latihan serta fokus dan tidak mustahil akan ada kejutan,” ujar Aniq.
Terdahulu, seramai 12 atlet sudah menandatangani perjanjian untuk menyertai program RTG, manakala empat pemain badminton profesional termasuk Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Soon Huat dan Shevon Lai masih belum mengesahkan penyertaan.