AGM mungkin jadi punca kes SPRM

2 months ago 56

PEMANGKU Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramaniam tidak menolak kemungkinan pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tahun depan menjadi punca pegawai tinggi badan induk itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau juga mengakui tidak terkejut dengan situasi tersebut kerana percaya ia berlaku atas beberapa sebab, namun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan.

Justeru, Subramaniam meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh selain tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.

“Macam anda semua tahu, BAM ada keluarkan kenyataan ringkas semalam (kelmarin) berhubung siasatan dijalankan dan itu sahaja. Kita kekal dengan (pendirian) itu dan beri SPRM buat siasatan sepatutnya.

“Oleh itu, kita tunggu dan lihat sahaja apa keputusannya nanti, tidak ada apa-apa yang boleh diulas. Mungkin juga (disebabkan pemilihan AGM),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Kerjasama antara BAM dan Yonex di Kuala Lumpur semalam.

BAM akan melakukan pemilihan pada AGM 2025 dijangka berlangsung antara Mac dan April tahun depan dalam memilih kepimpinan baharu untuk mengemudi badan induk bagi penggal 2025 hingga 2029.

Sementara itu, Subramaniam mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung jumlah saksi sudah dipanggil bagi memberikan keterangan mengenai kes sedemikian yang melanda BAM buat kali pertama kali.

“Saya tidak tahu kerana tidak ada maklumat mengenai perkara tersebut. Kita tunggu sahaja siasatan selesai, jadi buat masa ini saya minta semua orang supaya bersabar sahaja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyuarakan rasa gembira atas lanjutan kerjasama antara BAM dan Yonex bagi tempoh dua tahun lagi sehingga 2028 memandangkan kontrak sedia ada bakal tamat pada 2026.

“BAM berbesar hati untuk meneruskan kerjasama bersama Yonex. Pemain-pemain negara mendapat banyak manfaat selain mencipta kejayaan, termasuk memenangi gelaran juara dunia dalam acara beregu lelaki,” ujar Subramaniam.

Read Entire Article
Pertanian | | | |