SHAH ALAM – Seorang pegawai imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menawarkan rasuah RM2,000 bagi urusan kemasukan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), dua tahun lalu.
Tertuduh, Roney Irwan Mohamad Nor, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Roney Irwan didakwa telah menawarkan suapan berjumlah RM2,000 kepada seorang lelaki berusia 42 tahun sebagai upah memudahkan urusan kemasukan warga asing masuk ke negara ini melalui kaunter Imigresen KLIA2.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di balai ketibaan dan masuk KLIA 2 pada tahun 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa SPRM Muhammad Ariff Badrulhisham mencadangkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM Johor Bharu pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Namun, Peguam Datuk Zamri Idrus dalam mitigasinya merayu ikat jamin dikurangkan susulan anak guamnya perlu menyara lima orang anak selain terpaksa menanggung kos rawatan sakit jantung yang dihidapnya.
“Tertuduh masih berkhidmat dan kini bertugas di Johor Bharu. Dia sebagai pegawai kerajaan boleh dapatkan rawatan di hospital kerajaan.
“Namun tempoh masa menunggu agak panjang demikian jadi beliau perlu sejumlah wang untuk rawatannya di hospital swasta,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM12,000 bersama seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan serta memerintahkan agar tidak menganggu mana-mana saksi.
Sebutan semula kes ditetapkan 28 Februari depan. – KOSMO! ONLINE