LONDON – Liverpool mempunyai senarai pemain yang mencukupi untuk cuba merobek gawang Crystal Palace pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley, malam ini sekali gus membawa pulang trofi pertama musim baharu.
Pengurusnya, Arne Slot menjelaskan semua pemain mempunyai peluang sama rata untuk bermain dan pendekatannya tidak meletakkan harapan kepada pemain senior sahaja untuk membantu kejayaan.
“Saya tidak tahu apa maksud sebenar pemain senior, adakah ia merujuk kepada pemain yang bermain untuk negara atau pun merujuk kepada umur? Rio Ngumoha juga sudah menunjukkan kualitinya di peringkat senior dan sudah pasti dia juga mampu menghadirkan impak.
“Saya fikir kami memiliki ramai pemain berkualiti untuk meledak jaringan seperti Cody Gakpo, Federico Chiesa, Hugo Ekitike, Mo Salah, Jeremie Frimpong dan Florian Wirtz,” katanya.
Dalam masa sama, Slot juga menjelaskan adalah penting buat The Reds memulakan musim ini dengan kejayaan menjulang piala kerana ia akan membantu pasukan tampil lebih baik untuk misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
“Adalah bagus untuk memulakan musim dengan peluang memenangi piala. Kebiasaannya kami kena bermain beberapa perlawanan sebelum boleh menjulang piala, tetapi sekarang kami ada peluang untuk memenangi sesuatu di awal musim.
“Kami berdepan Crystal Palace, sebuah pasukan yang bagus dan sukar untuk ditentang. Mereka sudah buktikan pada perlawanan akhir (Piala FA), mereka begitu sukar untuk ditewaskan, malah ramai pemain mereka masih lagi kekal,” jelasnya.
Selepas cukup aktif pada jendela perpindahan kali ini, Slot menjelaskan dia begitu gembira dengan skuad yang dimiliki ketika ini yang menyaksikan pemain muda turut menghadirkan pilihan tambahan buatnya menyiapkan pasukan terbaik.
“Saya boleh bercakap tentang Hugo Ekitike, bukannya pemain yang belum jadi pemain milik kami. Kami memenangi saingan liga musim lalu, namun setiap musim kami ada alasan untuk terus rasa gembira dengan skuad yang kami ada,” katanya.
Mengulas lanjut tentang sumbangan Ngumoha sepanjang aksi pramusim, Slot berharap prestasi yang dipamerkan itu akan terus kekal dan dia menjadi lebih matang untuk mengawal situasi
“Setahun yang lalu, Trey Nyoni juga menjaringkan gol ketika usianya masih muda, 17 tahun. Pastinya mereka memiliki peluang hebat untuk bekerja setiap hari dengan pemain seperti Virgil Van Dijk dan Mohamed Salah. Saya mahu lihat adakah mereka bersedia untuk beraksi baik setiap tiga hari sekali,” katanya. – AGENSI