BANGI – “Saya sedar-sedar saja, orang sudah ramai…nampak arwah dah tercampak keluar dan ada kain tutup wajah arwah.”
Demikian luahan ibu saudara kepada Allahyarham Wan Adlin Nadhilah Wan Nasrul Hakim iaitu Wan Nur Hidayah Wan Muhammad yang masih terkejut dengan tragedi meragut nyawa remaja berusia 23 tahun itu pada minggu lalu.
Menurut Wan Nur Hidayah, 42, hari kejadian pada awalnya menjadi momen kegembiraan buat anak saudaranya itu kerana baru sahaja selesai mengambil gambar pra konvokesyen bersama adik serta sepupunya yang lain sebelum bakal hadir ke majlis konvokesyen seminggu kemudian.
“Saya, rakan serumah daya, adik arwah dan sepupu-sepupu dia semua bergambar. Dia sangat happy (gembira) macam biasa, suka gelak. Tak ada langsung tanda pelik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen ke-53 di Dewan Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Menurut Wan Nur Hidayah, ketika dalam perjalanan pulang ke Mentakab, Pahang selepas selesai sesi bergambar pra konvokesyen, Allahyarham buat pertama kali meminta semua gambar dimasukkan ke dalam Google Drive.
“Tak pernah sekali pun dia minta begitu. Itulah ayat terakhir dia pada saya iaitu 15 minit sebelum kejadian berlaku,” katanya.
Menceritakan saat-saat sebelum kemalangan, Wan Nur Hidayah berkata, dia sempat bertukar kereta dengan abangnya kerana jumlah penumpang yang ramai sebelum memulakan perjalanan pulang.
“Arwah duduk di bahagian belakang saya, betul-betul belakang tempat duduk pemandu. Sebelum kemalangan, saya nampak ada dua kereta berlumba dari depan. Saya sempat sebut, ‘Kenapalah nak berlumba di sini?’.
“Tiba-tiba sebuah kereta jatuh ke bahu jalan dan terus menghala ke arah kami. Saya cuba elak ke tepi, tapi ia tetap hentam sisi kanan kereta. Terus tak sedar dan bila saya buka mata, bomba, polis…semua dah ada. Saya tak boleh bernafas dan hanya sebut ‘Allah… Allah…’,” katanya.
Bercerita lanjut, Wan Nur Hidayah berkata, dalam keadaan separuh sedar, dia terdengar adik Allahyarham, Wan Anisah Farhah, 22, sempat bertanya keberadaan arwah.
“Adik dia cakap, ‘Alin mana?’ Saya pandang belakang…tak ada. Masa itu bomba sedang tolong keluarkan kami dari kereta, saya dengar ada yang kata ada seorang di luar.
“Saya tengok… arwah dah terbaring, elok ditutup. Tudung tak terselak. Aurat dia terjaga. Baju pun tak terusik. Saya kuatkan diri keluar kereta dari pintu penumpang dan pangku Alin. Saya rasa (nadi) di leher, tak ada. Di tangan pun tak ada. Kepala dia lembut, hentakan kuat di bahagian belakang kepala buatkan banyak darah,” katanya.
Tambahnya, hubungan antara mereka sangat rapat kerana arwah dibesarkan di bawah jagaan keluarga besar mereka.
“Dia empat beradik, dan kami memang sangat rapat. Dari kecil nenek jaga dan ada bersama saya. Dia macam anak sendiri,” katanya.
Terdahulu, Wan Adlin meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di kilometer 126 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berdekatan simpang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada 15 November lalu. – KOSMO! ONLINE

6 days ago
14



![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)






![[VIDEO] Positif dadah, pemandu lori lawan arus 150 km ditahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/lori-lawan-arus.jpeg)

![[VIDEO] ‘Bukan pandang belakang kak, pandang depan’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/konvo-utim.jpeg)




































