SHAH ALAM – Bantuan tambahan sebanyak RM5,000 dan RM2,500 daripada Petronas Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan disalurkan kepada 613 isi rumah yang terjejas dalam kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini, bermula hari ini.
Ini menjadikan pemilik rumah yang ‘total lost’ akan menerima bantuan keseluruhan sebanyak RM10,000 dan RM5,000 kepada kediaman mengalami kerosakan ringan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu melibatkan kepada 437 buah rumah keseluruhan yang terjejas dan dimuktamadkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan pasukan teknikal akibat kebakaran itu.
Katanya, pemilik kepada 81 buah rumah yang musnah sepenuhnya dengan kebakaran struktur melebihi 40 peratus akan memperolehi sebanyak RM10,000.
Bagi rumah yang rosak separuh iaitu kebakaran struktur kurang 40 peratus adalah sebanyak 81 rumah dan terkesan tetapi tidak terbakar pula merangkumi 57 kediaman serta penyewa akan menerima sebanyak RM5,000.
“Alhamdulillah, saya rasa 219 individu yang telah disahkan akan dapat disampaikan bantuan hari ini. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan memanggil secara individu untuk disampaikan (bantuan) dan kita anggarkan sehingga Jumaat ini dapat diselesaikan.
“Ini selepas proses pengesahan laporan kehadiran mereka di Pusat Pemindahan Sementara dan mereka yang terkesan betul sumbangan ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera RM5,000 kepada pemilik kediaman yang mengalami kerosakan teruk dan 2,500 bagi mereka yang mengalami kerosakan ringan.
Amirudin memberitahu, baki 218 rumah lagi daripada keseluruhan kediaman yang telah diperiksa didapati tidak terjejas.
“Kita telah membesarkan pemeriksaan kawasan terkesan daripada hari pertama daripada radius 290 meter persegi kepada 325 meter persegi.
“Hasil pemeriksaan turut menunjukkan 151 rumah lain telah disahkan selamat dan tuan rumah telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE