JOHOR BAHRU – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dengan kerjasama erat kerajaan negeri melakar sejarah baharu apabila melaksanakan inisiatif air dipulih guna khusus bagi sektor pusat data.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui program ini, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. akan membekalkan sehingga 12 Juta Liter Sehari (JLH) air kumbahan terawat kepada loji air pulih guna yang menyokong operasi dua pusat data utama di Johor.
Beliau berkata, usaha ini mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan kestabilan bekalan air, di samping menggalakkan amalan industri teknologi yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“IWK mengeluarkan 7,371 JLH efluen terawat daripada loji-loji rawatan kumbahan di seluruh negara dan 1,067 JLH di negeri Johor, yang mana ia berpotensi besar untuk diguna semula bagi tujuan sumber air alternatif.
“Ini akan dapat mengoptimumkan sumber air negara, sekali gus mengurangkan beban permintaan terhadap air minuman terawat.
“Saya difahamkan, IWK mampu membekalkan sebanyak 12 JLH efluen terawat yang akan diproses melalui Loji Air Pulih Guna sebelum disalurkan kepada dua Pusat Data iaitu Bridge Data Centers (BDC) dan Computility Technology Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Penggunaan Alternatif Bagi Industri Data di Johor di Hotel Double Tree bu Hilton, di sini hari ini.
Petra melalui agensinya, IWK dan Kerajaan Negeri melalui Johor Special Water (JSW) iaitu anak syarikat kepada Permodalan Darul Ta’zim (PDT) akan bekerjasama membekalkan sumber air kumbahan terawat melalui sistem pengagihan bersepadu kepada Loji Air Pulih Guna kepada BDC dan Computility Technology (Malaysia).
Di samping itu, JSW juga membekalkan sumber air alternatif lain kepada Dayone Data Centre Malaysia II Sdn. Bhd. (Dayone).
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pusat data merupakan antara pengguna utama air terawat, khususnya bagi tujuan sistem penyejukan. – KOSMO! ONLINE