SEBERANG PERAI – Polis menahan seorang suspek lelaki warga Vietnam yang tular membuat kecoh di sebuah pasar raya di Butterworth di sini, hari ini dengan cuba menarik seorang bayi lelaki berusia 11 bulan dari dukungan ibunya sambil memegang sebilah pisau.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, suspek turut bertindak agresif ketika dikepung orang awam termasuk kakitangan premis berkenaan.
Difahamkan, kejadian dipercayai bermula apabila penyelia premis sebelum itu melihat lelaki terbabit yang mahu melarikan diri dengan membawa beberapa makanan laut yang belum dibayar.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, suspek sebelum itu berjaya meloloskan diri selepas dia ditahan orang awam.
“Penyelia kemudiannya berusaha sekali lagi menangkap suspek sebelum dia (suspek) bertindak menarik seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 bulan sambil memegang sebilah pisau.
“Berlaku pergelutan antara suspek dan mengsa serta beberapa orang awam di lokasi kejadian.
“Suspek akhirnya dapat ditangkap dengan bantuan beberapa pekerja lain yang kemudiannya bertindak menghubungi polis untuk tindakan susulan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 324 dan 506 kanun sama.
Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi esok untuk mendapatkan permohonan reman.
Terdahulu tular beberapa video dan foto di media sosial yang memaparkan kejadian yang berlaku sehingga ia mendapat kecaman daripada pengguna media sosial. -KOSMO! ONLINE