TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mengesahkan tidak menerima sebarang aduan setakat ini daripada konsumer tentang kenaikan harga telur ayam sejurus penamatan subsidi oleh kerajaan pada awal bulan ini.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya sentiasa aktif menjalankan pemantauan harga barangan keperluan setiap hari bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.
“Setakat ini kita tidak menerima mana-mana aduan berhubung kenaikan harga telur ayam. Pemantauan harga barang dibuat setiap hari oleh pegawai kita,” katanya kepada pemberita di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melancarkan Jelajah Promosi Price Catcher sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak.

Aplikasi itu digunakan secara meluas di seluruh negara termasuk di negeri ini dengan rekod lebih 5,100 pengguna berdaftar.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan dengan kadar subsidi dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji pada 1 Mei 2025 sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos lalu.
Berhubung aplikasi Price Catcher, Kamalludin mengalakkkan pengguna memanfaatkannya bagi memudahkan mereka membandingkan harga barangan di sesuatu kawasan. – KOSMO! ONLINE