Dua rakan khianat Eda Ezrin di Sungai Golok diburu polis

1 month ago 18

KOTA BHARU – Dua rakan kepada penyanyi Bae Sobar Bae, Eda Ezrin yang dipercayai melakukan perbuatan khianat sehingga wanita tersebut bersama suami dan empat rakan dicekup melibatkan kes dadah di Sungai Golok, Thailand pada November lalu diburu polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut diperoleh melalui kenyataan yang diberikan oleh Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail bersama suami, Mohd. Affendi Ahmad, 35, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, semasa mereka ditahan sebaik sahaja masuk ke negeri ini.

Menurutnya, keenam-enam mereka secara konsisten memberikan kenyataan yang sama semasa soal siasat yang dilakukan pada Khamis dan Jumaat lalu.

“Eda Ezrin, suami dan empat lagi rakan tidak mengaku atas pertuduhan memiliki dadah dan mendakwa telah dianiayai oleh dua individu terbabit yang merupakan rakan mereka.

“Dua individu yang dimaksudkan itu adalah seorang lelaki dan wanita. Mereka hanya disabitkan kesalahan atas penyalahgunaan dadah selepas ujian air kencing mendapati mereka semua positif dan sudah menjalani penjara tiga bulan atas kesalahan terbabit di Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, semakan mendapati, kedua-dua individu tersebut sudah berada dalam senarai pemerhatian polis.

Katanya, beliau percaya kedua-dua suspek itu masih berada di Kelantan dan usaha menjejak mereka sedang giat dijalankan.

“Polis Kelantan juga akan memanggil kembali Eda Ezrin, suami dan empat rakan jika diperlukan,” ujarnya

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin, suami bersama empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat pada 6 Ogos lalu.

Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |