Dewan Rakyat: Hasil siasatan kematian Syamsul Haris diketahui dalam tempoh terdekat

1 month ago 17

KUALA LUMPUR – Hasil siasatan berhubung kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Kementerian Pertahanan telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes tersebut yang turut disertai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM)

“Jawatankuasa khas berkenaan akan membuat kajian dan memastikan laporan lengkap dapat disediakan dalam kadar segera berhubung kematian pelajar itu.

“Kes di peringkat siasatan dan laporan siasatan dijangka diketahui dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN- Alor Setar) berhubung perkembangan kes kematian Syamsul Haris.

Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau telah melawat keluarga Allahyarham Syamsul Haris dan mendengar sendiri daripada ibu mangsa tentang keadaan anaknya.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada Peguam Negara mengenai permohonan rasmi ibu Allahyarham supaya siasatan semula dijalankan.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan melindungi mereka yang terbabit buli atau kekerasan di institut pendidikan tinggi.

“Jika kes dianggap berat dan membabitkan jenayah, kita tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak polis,” katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas dianggotai tiga agensi bagi menyiasat kematian pemuda itu.

Terdahulu, polis mengesahkan tiada kecederaan berunsurkan jenayah dikesan sehingga menyebabkan kematian Syamsul Haris.

Bagaimanapun, ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris mengesyaki terdapat perlakuan jenayah dalam kes kematian anaknya berdasarkan kesan pada jenazah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |