Dewan Rakyat: 31 kes buli di universiti awam

1 month ago 17

KUALA LUMPUR – Sebanyak 31 kes buli dilaporkan berlaku di lapan universiti awam (UA) sejak 11 tahun lalu iaitu dari tahun 2014 hingga 2025.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kes dalam bentuk buli fizikal atau buli siber dan tindakan telah diambil di peringkat pengurusan universiti masing-masing.

Menurut beliau, kes boleh berpunca daripada faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial dan kurang pengawasan ibu bapa.

“KPT tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli atau kekerasan yang berlaku di institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah seliaan kementerian ini.

“KPT tidak akan melindungi pelaku serta akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi sebarang kes buli yang dilaporkan berlaku di IPT.

“KPT juga ingin menyatakan komitmen untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berhubung langkah KPT bagi mengekang kejadian buli di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS)

Zambry berkata, dalam konteks UA, pelajar terlibat dalam kes buli boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 3(1)(a)(ii), Kaedah-kaedah (Tatatertib Pelajar) yang diseragamkan melalui pindaan pada tahun 2024.

Kata beliau, kaedah-kaedah itu memperuntukkan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan dan hukuman boleh dikenakan satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman.

Jelas beliau, hukuman diperuntukkan adalah amaran, khidmat masyarakat mengikut peraturan yang dibuat oleh lembaga yang tidak melebihi 24 jam serta denda tidak melebihi RM500.

Tambah beliau, hukuman lain adalah dilarang daripada berada dalam mana-mana bahagian kampus bagi suatu tempoh, dibuang atau dilarang untuk tinggal di dalam desasiswa.

Kata beliau, hukuman lain adalah digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi suatu tempoh atau dibuang daripada universiti.

“Bagi Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) pula, Seksyen 33 Akta IPTS 1996 (Akta 555) memperuntukkan secara jelas tanggungjawab Ketua Eksekutif IPTS dalam menjalankan penyeliaan am.

“Termasuk berkaitan kebajikan dan disiplin di institusi berkenaan meliputi usaha pencegahan dan pengendalian kes buli secara menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |