Bawa anak, isteri edar dadah ambang tahun baharu

1 month ago 23

SHAH ALAM – Tiga beranak antara lima individu yang ditahan selepas terlibat dalam pengedaran dadah pada ambang tahun baharu bernilai keseluruhan lebih RM1.08 juta, baru-baru ini.

Kesemua mereka termasuk penghantar barang, tukang masak kantin sekolah dan pembekal bahan binaan yang berusia belasan tahun hingga 47 tahun ditahan di sekitar Klang, Setia Alam dan Ampang Jaya.

Sepanjang operasi hampir tiga jam bermula pukul 6.40 petang, Selasa lalu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Klang Utara dan Shah Alam itu merampas pelbagai jenis dadah dengan berat keseluruhan 15. 5 kilogram serta 2.24 liter melibatkan syabu, ketamin, ekstasi, heroin, ganja dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati salah seorang suspek lelaki daripada tiga beranak tersebut berperanan sebagai penghantar dadah.

Katanya, suspek menggunakan kereta jenis Proton Saga bagi tujuan penghantaran dadah jenis ganja pada malam tahun baru.

“Siasatan awal mendapati hanya suspek lelaki terlibat namun dia menggunakan isteri dan ahli keluarganya untuk bergerak bagi proses penghantaran ganja seberat 316 gram (g).

“Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti penglibatan ahli keluarganya. Namun berpandukan suspek ini kita berjaya menahan seorang pengedar di sebuah kondominium di sekitar Ampang Jaya bersama 6.4 kilogram (kg) ganja serta menyita sejumlah wang tunai,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati pengedar lelaki tersebut telah aktif sejak sembilan lalu berdasarkan tempoh menyewa unit perumahan tersebut pada kadar RM2,100 sebulan.

Hussein menjelaskan, seorang lagi suspek bagi kes lain yang ditahan didapati telah menjadikan rumah sewa sebagai makmal dadah dengan menjumpai peralatan pemprosesan dadah ekstasi di kediaman itu.

“Suspek berstatus duda itu dipercayai mempelajari teknik proses dadah melalui pelbagai media sosial termasuk YouTube.

“Namun, kedua-kedua kes ini bukan dari sindiket sama cuma pasaran mereka sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil daripada dua kes ini berjaya menyita kenderaaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 dan wang tunai dianggarkan RM187,813.

“Semakan mendapati hanya dua daripada lima suspek mempunyai rekod lampau dan seorang sahaja positif dadah jenis delta-9 tetrahydrocannabinol (THC).

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan trend ketika ini menunjukkan pengedaran dadah bukan daripada sindiket yang besar dan dijalankan seorang sahaja atau kumpulan kecil.

“Mereka menggunakan media sosial bagi tujuan pembelian, pemprosesan dan pengedaran dadah.

“Selain itu, mereka ada komuniti sendiri dan tidak mengenali secara fizikal dengan pembayaran secara dalam talian. Jadi, pengedaran kini semakin licik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |