PETALING JAYA – Bank Rakyat meneruskan tradisi menghargai pelanggan dengan memperuntukkan lebih RM900,000 menerusi Kempen Hulurkan Salam, tahun ini.
Kempen utama yang bakal berlangsung bermula 1 Mac sehingga 31 Mei depan menawarkan hadiah berjumlah RM370,000 termasuk kereta mewah Jaecoo J7, Proton e.MAS dan motosikal elektrik BMW CE 04.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Shariff berkata, ‘Hulurkan Salam’ diangkat sebagai tema Ramadan dan Syawal pada tahun ini sebagai simbolik penghargaan bank berkenaan kepada pelanggan yang setia bersama.
“Ia menawarkan peluang kepada pelanggan memenangi pelbagai ganjaran di samping menyediakan platform kepada usahawan untuk turut mengembangkan perniagaan produk dan perkhidmatan serta inisiatif Jangkauan Komuniti kepada masyarakat.
“Diharapkan semua inisiatif ini dapat mengeratkan hubungan kami dengan para pelanggan serta menggembirakan mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini
Menerusi Kempen Hulurkan Salam, Bank Rakyat turut menawarkan pelbagai rebat dan ganjaran seperti Kempen Rebat Petrol yang berlangsung dari 27 Mac sehingga 10 April 2025, yang mana pelanggan boleh menikmati diskaun lima peratus bagi pembelian petrol, diesel serta barangan runcit di stesen minyak seluruh negara.
Selain itu, Kempen Rebat Barangan Runcit menawarkan diskaun tiga peratus bagi pembelian barangan keperluan harian dari 27 Mac sehingga 3 April 2025.
Sementara itu, Kempen Rebat Emas menawarkan diskaun satu peratus bagi pembelian emas menggunakan Kad Kredit-i Bank Rakyat bermula 1 Mac sehingga 30 April 2025.
Melalui Kempen iRakyat Duit Raya pula, pelanggan yang melakukan jumlah transaksi duit raya tertinggi dari 17 Mac hingga 13 April 2025 berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM2,000.
Bagi menyokong usahawan, Bank Rakyat bakal menghimpunkan sebanyak 100 gerai usahawan sempena Ramadan menerusi Karnival Bazar Riang Raya bertempat di Menara Kembar Bank Rakyat pada 17, 19, 20 dan 21 Mac ini. – KOSMO! ONLINE