KUALA LUMPUR – Diangkat sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2025, komposer dan penyanyi, Eddie Hamid menganggap pengiktirafan itu menangkis persepsi negatif terhadapnya.
Eddie atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Adenan, 63, berkata, keupayaan sebagai komposer yang diperakui badan terbabit merupakan perkara paling manis diraih tahun ini.
“Akhirnya, MACP membuktikan hasil kerja saya diiktiraf sebagai pencipta lagu yang selama ini disebut komposer karya meleleh, lagu kampung.
“Kiranya saya sangat bersyukur dan berpuas hati kerana ini bermakna segala tempias sebelum ini, sudah ada jawapannya,” katanya ditemui selepas majlis anugerah MACP, baru-baru ini.
Menurut komposer lagu Setandan Pisang itu, semua kata-kata liar mengenai hasil ciptaannya enggan dijadikan pemudar semangat untuk lebih rancak berkarya terutama lagu berdialek Kelantan.
“Kalau dulu saya banyak hasilkan karya berbahasa Melayu standard tapi sekarang permintaan banyak lagu dialek Kelantan.
“Itu menunjukkan karya sebegini mempunyai pendengar setia sehingga mampu menangkap perhatian orang luar yang bukan dari negeri itu,” ujarnya.
Sementara itu, pengiktirafan diberikan kepada Eddie disifatkan maestro muzik, Datuk M. Nasir sebagai tepat pada waktu apatah lagi rakan seperjuangannya itu tiada galang ganti.
“Sejujurnya saya juga peminat Eddie. Tiada sesiapa yang boleh hasilkan karya sebagaimana Eddie Hamid. Dalam dunia ini, dia sahaja yang dapat buat lagu sebegitu.
“Kalau dia dengar sesuatu lagu dan rasa lagu itu tak sedap, memang maksudnya lagu itu susah untuk popular. Itu kelebihan Eddie,” katanya.
Antara sentuhan penggiat seni yang aktif dalam dunia muzik sejak akhir 80-an itu adalah Rindu Serindu Rindunya, Dirantai Digelangi Rindu, Perpisahan Terakhir dan Jangan Menangis Sayang. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
6

















































