PETALING JAYA – Kawal selia dana awam oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) didakwa masih belum cukup menyeluruh terutama melibatkan kutipan derma berskala besar dan kutipan dalam talian.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, keadaan itu membuka ruang luas kepada salah guna dan penyelewengan dana awam jika tidak dipantau secara lebih ketat.
Menurut beliau, ROS sebelum ini memaklumkan peranannya terhad kepada pemantauan melalui laporan tahunan, manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar dibenarkan mengutip dana awam jika termaktub dalam perlembagaan pertubuhan masing-masing.
“MCW berpandangan isu ini bukan soal menyalahkan ROS semata-mata tetapi menunjukkan wujudnya jurang kawal selia yang serius.
“Apabila kutipan dana awam boleh dibuat secara meluas tetapi semakan hanya berlaku selepas laporan tahunan dikemukakan, maka risiko penipuan, penyalahgunaan akaun, kutipan atas nama kebajikan palsu, konflik kepentingan dan pengaliran dana kepada pihak tidak sepatutnya menjadi semakin besar,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di bawah Akta Pertubuhan 1966, ROS sememangnya mempunyai kuasa penting termasuk membatalkan atau menggantung pendaftaran pertubuhan, meminta maklumat, memeriksa dokumen, menyemak akaun serta mengarahkan audit tahunan.
Bagaimanapun katanya, kuasa tersebut bukan bersifat mutlak atau ‘absolute power’ kerana ROS hanyalah pengawal selia pertubuhan dan bukannya satu-satunya agensi penguat kuasa jenayah kewangan negara.
“Jika wujud unsur pecah amanah, penipuan, rasuah, pengubahan wang haram atau salah guna dana awam, agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan pihak pendakwaan tetap mempunyai bidang kuasa masing-masing.
“Akta SPRM 2009 meliputi kesalahan rasuah seperti suapan, tuntutan palsu dan salah guna kedudukan, manakala Kanun Keseksaan pula merangkumi kes pecah amanah jenayah,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! Ahad melaporkan terdapat isu melibatkan NGO yang didakwa menyalahgunakan dana sumbangan orang ramai sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap integriti dan ketelusan pengurusan pertubuhan kebajikan di negara ini.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu salah guna dana NGO amat serius kerana sumbangan orang ramai merupakan amanah untuk membantu golongan memerlukan termasuk mangsa bencana dan komuniti tertindas. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
5










![[VIDEO] ‘Geng dewan bedah gigih kejar 10,000 langkah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-09-at-14.12.45.jpeg)



































